BIDANG PENGAJIAN PENDIDIKAN
KOLEJ SASTERA DAN SAINS
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA
SGDE 4013 PENTAKSIRAN PEMBELAJARAN
NAMA PENSYARAH : DR. MOHD ISHA AWANG
Nama Ahli Kumpulan : 31
Muhammad Azri Amin Bin Mustapai 202238
Mohd Iimaduddin Bin Husin 202218
Wan Azlina Binti Wan Semail 202264
Normadati Binti Mat Kail 202214
Aziera Binti Asnawi 202273
1.0 PENDAHULUAN
Pendidikan Islam merupakan antara mata pelajaran yang dipelajari oleh setiap pelajar
peringkat menengah di Malaysia. Mata pelajaran ini merupakan kesinambungan pengajian
berkaitan fardu ain seseorang individu Muslim. Dari sudut pandangan Islam, teknologi dan
perkembangan terkini telah menghasilkan banyak kaedah pendidikan yang baik. Walau
bagaimanapun, kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) yang diamalkan oleh Rasulullah
s.a.w. perlu dijadikan asas dan rujukan utama ke arah kemantapan iman dan amal yang
dituntut. Ini kerana Baginda s.a.w. merupakan model terbaik yang mengajak umat Islam
mengamalkan ajaran Islam dan akhlak Islamiyyah. Kejayaan P&P Pendidikan Islam berkait
rapat dengan kemahiran dan peranan guru di sekolah dan tanggungjawab ibu bapa di rumah.
Kepelbagaian kaedah pengajaran dan kemahiran penting supaya bertepatan dengan falsafah
Pendidikan Islam itu sendiri.
Pendidikan Islam juga adalah suatu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu,
kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan al – Quran dan Sunnah bagi membentuk
sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai
tanggungjawab untuk membangun diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah
mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat. Walau bagaimana pun,
sehingga kini masih wujud beberapa isu yang perlu diketengahkan untuk dibincangkan
bersama secara ilmiah. Isu yang seringkali dihadapi oleh guru dalam mendepani tugas dan
tanggungjawab yang berat sesuai dengan amanah ilmu yang dipikul iaitu mampu membentuk
pelajar menjadi insan soleh. Tugasan ini akan mengetengahkan isu-isu tersebut di samping
mencadangkan jalan penyelesaian yang terbaik. Mudah-mudahan cadangan penyelesaian
beberapa isu di sini kelak akan mewujudkan jalan keluar kepada semua setiap permasaalahan
lampau yang masih belum mampu diatasi sehingga kini.
2.0 ISU - ISU PENDIDIKAN ISLAM
2.1 TAHAP PENGUASAAN BACAAN AL-QURAN
Al-Quran adalah sebuah mukjizat agung yang diturunkan oleh Allah SWT kepada
Rasulullaha SAW bagi membenarkan ajaran syariat sebelumnya dan juga menyempurnakan
hukum-hukum Allah SWT sehingga terbentuk suatu ajaran yang universal dari berbagai
aspek sama ada material, spiritual, jasmani, rohani, dunia dan akhirat. Begitulah
kesempurnaan Al-Quran yang wajib dipelihara melalui penguasaan bacaan dan hafazan Al-
Quran dengan baik mengikut hukum tajwid yang telah ditetapkan. Walau pun demikian,
terdapat segelintir guru yang hanya menguasai kemahiran atau pengetahuan yang sederhana
dalam membaca Al-Quran. Mereka didapati kurang menguasai kemahiran atau pengetahuan
yang lebih tinggi dan mencabar. Contohnya, ilmu tajwid dan tanda-tanda bacaan, menghafaz
ayat-ayat Al-Quran dan membaca Al-Quran di khalayak ramai. Masalah-masalah tersebut
boleh dikaitkan dengan faktor-faktor seperti ketiadaan pembimbing, kurang penekanan
terhadap ilmu Tajwid dan sikap ibu bapa terhadap penguasaan kemahiran membaca Al-
Quran.
Sesetengah guru mendapat pendedahan awal pembelajaran membaca Al-Quran
daripada pembimbing yang tidak bertauliah. Ramai dibimbing oleh para guru dan ibu bapa
sendiri yang tidak dilatih khas untuk membimbing membaca Al-Quran. Ini bererti guru
tersebut tidak dibimbing secara teratur ketika mula belajar membaca Al-Quran. Ini
mengakibatkan tahap kebolehan membaca Al-Quran yang rendah di kalangan guru tersebut.
Faktor kedua yang mempengaruhi keadaan ini pula berpunca dari kurangnya penekanan
terhadap Ilmu Tajwid semasa belajar membaca Al-Quran. Apabila pembelajaran dan
pengajaran yang tidak sistematik berlangsung maka banyak menjadi penyebab kepada
kelemahan penguasaan bacaan Al-Quran. Keadaan ini menjadi bertambah parah apabila
dalam pendidikan Islam di sekolah, Ilmu Tajwid hanya disampaikan melalui
penggabungjalinan kemahiran Tilawah Al-Quran sahaja. Peruntukan masa khas untuk Ilmu
Tajwid tidak disediakan. Ia lebih banyak bergantung kepada budi bicara guru Pendidikan
Islam sendiri. Adalah malang bagi ibu bapa yang beranggapan Pendidikan Islam di sekolah
sudah membebaskan mereka dari tanggungjawab memberi ilmu kepada anak-anak mereka
khususnya yang berkaitan dengan ilmu Fardhu Ain, termasuk Ilmu Tajwid. Lebih
menyedihkan lagi apabila kita meneliti banyak hasil dapatan kajian menunjukkan sangat
ramai ahli masyarakat yang buta huruf Al-Quran.
Apabila peranan ibu bapa yang mementingkan pencapaian akademik berbanding
penguasaan pembacaan Al-Quran maka situasi runcing seperti yang dinyatakan oleh para
sarjana ini akan terus berlarutan tanpa had sempadan. Ramai ibu bapa akan terkilan sekiranya
anak mereka tidak mecapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan awam tetapi tidak ramai
yang terkilan jika anak mereka tidak boleh membaca Al-Quran mengikut hukum Tajwid yang
sepatutnya. Maka jelas di sini bahawa kepincangan ini sangat berkait rapat dengan sikap ibu
bapa itu sendiri. Hal ini berlarutan apabila keadaan pada hari ini sangat mendesak kepada
pencapaian akademik setiap masa. Guru dan pelajar hanya diberi ruang yang cukup untuk
menghasilkan pencapaian tinggi iaitu bilangan A dalam setiap mata pelajaran yang diambil.
Berbeza pula dengan penekanan ibu bapa terhadap kemahiran membaca Al-Quran. Pada
masa lalu, ibu bapa sangat menekankan aspek mempelajari Al-Quran pada waktu petang
selain belajar akademik di sekolah pada sebelah pagi sesi persekolahan rasmi. Amalan
memastikan anak-anak dapat membaca Al-Quran dengan baik malah mampu khatam Al-
Quran sebelum ke sekolah menengah kini telah terhakis. Kesannya apabila anak tersebut
meningkat dewasa dan ada yang dipertanggungjawabkan mengajar Al-Quran kepada
pelajarnya maka hasil yang dapat diperolehi hanya minimum berikutan guru juga kurang
menguasai kemahiran tersebut.
CADANGAN PENYELESAIAN
Isu ini boleh diatasi dengan baik apabila semua pihak mula melakukan perubahan diri.
Perlu diberi perhatian bahawa perkara ini hendakalah dimulai dengan aspek mengenal Al-
Quran secara syumul. Ini bertujuan mengajak pembaca mengenal dan mengetahui hakikat
dan kepentingan Al-Quran. Tanpa mengenalinya, mungkin kurang minat kita untuk
mendekati, membaca dengan baik dan menghayati setiap isi kandungannya. Fadilat Al-Quran
yang dijelaskan oleh para ulamak jelas bertujuan supaya kita lebih merasa senang dengan Al-
Quran, sama ada membacanya, menghayatinya ataupun sekadar mendengar bacaannya.
Walaupun siapa kita dan di mana kita berada, Al-Quran adalah pembimbing kita. Kita perlu
sentiasa dibimbing oleh Al-Quran dalam semua aspek kehidupan. Kelemahan kita menguasai
kemahiran membaca Al-Quran akan menjejaskan diri kita daripada mendapat petunjuk Al-
Quran. Setiap kelemahan perlu dipelajari daripada pihak yang mempunyai kemahiran dalam
bidang tersebut. Faktor pembimbing menjadi titik tolak pertama supaya setiap kelemahan kita
sama ada bergelar pelajar malah guru sekali pun berakhir dengan memiliki penguasaan Al-
Quran yang baik. Hasil yang jelas boleh diperolehi apabila kita mempu menguasainya dengan
baik, maka akan timbullah dalam hati sanubari rasa gembira berdamping dengan Al-Quran.
Apabila Al-Quran gembira dibaca maka senang difahami dan mudah untuk dihayati serta
diamalkan dalam kehidupan seharian setiap manusia.
Cadangan kedua dalam usaha mengatasi isu ini ialah merubah bentuk pelaksanaan
kurikulum sekolah. Apabila timbul isu penguasaan Al-Quran lemah maka setiap pihak tidak
terkecuali sukatan kurikulum wajar dikaji semula. Jika sebelum ini kurikulum tidak memberi
penekanan khusus kepada ilmu Tajwid yang hanya disampaikan melalui penggabungjalinan
kemahiran Tilawah Al-Quran sahaja, maka perlu diubah dan diberi penekanan khusus sebagai
jalan keluar kepada masalah ini. Wajar diperuntukan masa khas untuk ilmu Tajwid diajar dan
dibincangkan dengan bersistematik di kalangan pelajar. Sebagai contoh apabila mata
pelajaran ini diasingkan dan diberi tempoh minit yang cukup setiap minggu, pelajar dan guru
akan dapat memanfaatkannya sebagai medan khusus mempelajari semua konsep hukum dan
membuat latihan amali bersama-sama di dalam bilik darjah. Hal ini kerana pengajian ilmu
Tajwid memerlukan sistem Talaqqi/ Musyafahah. Sistem ini menitikberatkan hubungan dua
hala semasa mempelajarinya. Apabila guru memperdengarkan bacaan maka para pelajar
mestilah memerhatikan bacaan guru tersebut. Proses kedua pula pelajar memperdengarkan
bacaan masing-masing kepada guru dan guru berperanan untuk membaiki dan membetulkan
kesalahan bacaan pelajar. Ini adalah sistem pengajian Al-Quran yang diasaskan oleh
Rasulullah SAW dan mesti diikuti oleh kita semua supaya kesucian dan keagungan Al-Quran
sentiasa terpelihara.
Sikap sebahagian besar ibu bapa penting dipupuk kembali supaya cara berfikir
mereka lebih menjurus kepada menjadikan anak-anak mereka berjaya dari sudut penghayatan
Al-Quran sejajar dengan pencapaian akademik. Jika pencapaian akademik dilihat amat
penting bagi menjamin kejayaan hidup anak-anak maka perlu disedarkan bahawa kejayaan
menguasai Al-Quran juga sangat penting bagi menjamin kejayaan hidup yang lebih diberkati
dan diredhai olah Allah SWT. Oleh yang demikian tidak wajar penekanan ibu bapa hanya
tertumpu kepada pencapaian akademik tanpa diberi bimbingan supaya menguasai ilmu
Tajwid Al-Quran. Anak-anak harus diberi galakan daripada kecil lagi supaya dewasa kelak
tidak menyesal dan malu untuk belajar ilmu fardu kifayah ini. Kesan yang cukup besar dalam
hidup anak-anak apabila menguasai kemahiran bacaan dan penghayatan Al-Quran ini dapat
dikecapi oleh ibu bapa apabila anak-anak mereka terselamat daripada keruntuhan moral yang
semakin teruk pada masa kini. Al-Quran yang ada di dalam diri anak-anak akan mampu
manjadi benteng yang kukuh daripada kemurkaan Allah SWT.
2.2 GURU KURANG MENJIWAI PERANAN SEBAGAI MURABBI
Tanggungjawab mernbentuk generasi berakhlak mulia adalah suatu amanah yang
perlu dilaksanakan oleh para pendidik. Kebiasaannya tanggungjawab ini adalah menjadi
tanggungjawab guru Pendidikan Islam. Bagaimana pun, tanggungjawab ini adalah sesuatu
yang berat untuk dipikul, malah ada di kalangan guru menganggapnya suatu beban dalam
kerjaya mereka. Perlu difahami bahawa matlamat pendidikan negara adalah menjurus ke arah
mewujudkan generasi berakhlak mulia seperti yang telah dinyatakan dengan jelas di dalam
Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dan juga Falsafah Pendidikan Guru (FPG). Oleh itu,
adalah jelas bahawa Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Guru
bermatlamat ke arah pembentukan akhlak mulia, yang juga selaras dengan tuntutan firman
Allah SWT dan hadis berikut yang bermaksud : Dan sesungguhnya, kamu (Muhammad saw)
benar-benar memiliki akhlak yang agung (Maksud Al-Qur 'an 68:4) dan hadis Rasulullah
SAW : Sesungguhnya aku telah diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia (Maksud
sabda Rasulullah saw dlm, 'Ali Muttaqi, 1989, jld. 3, ms. 6). Ini bermakna, proses
pembentukkan akhlak generasi muda negara kita masa kini dan generasi masa depan terpikul
di atas bahu para pendidik khususnya guru Pendidikan Islam itu sendiri
Sangat menyedihkan apabila wujud segelintir guru Pendidikan Islam yang hanya
berperanan di dalam kelas sahaja. Guru ini hanya merasakan tugas mereka sebagai
penyampai maklumat sahaja. Tanpa di susuli dengan contoh tingkahlaku yang baik, kata-kata
nasihat dan bimbingan supaya berakhlak mulia. Menurut Prof. Madya Dr. Halim Mat Diah,
pensyarah Akademi Islam Universityi Malaya mengkritik dasar pendidikan Islam di negara
ini dan mempersoalkan dualisme yang diamalkan di sekolah-sekolah. Menurut beliau lagi apa
yang berlaku ialah kadang-kadang guru mata pelajaran Pendidikan Islam mengatakan
mendedahkan aurat adalah haram, tetapi kemudiannya masuk guru lain pula yang tidak
menutup aurat. Jadi ini pasti mengelirukan para pelajar di sekolah. Kesan yang negatif lebih
merebak daripada penerapan nilai-nilai murni yang terkandung dalam sukatan mata
pelajaran. Impak negatif ini menyebabkan pelajar akan menhadapi krisis identity yang hebat
antara dua contoh pemakaian guru yang bertembung tadi. Akhirnya pelajar akan memilih
untuk tidak menutup aurat kerana mengikut hawa nafsu mereka keadaan itu adalah lebih
selesa dan mengikut arus kemodenan semasa.
CADANGAN PENYELESAIAN
para guru yang mendidik anak-anak mereka di sekolah. Ini bermakna peranan guru
sememangnya amat besar dan begitu kritikal dalam merealisasikan Pendidikan Islam kerana
di atas bahu merekalah terletak kejayaan dan kegagalan pelaksanaan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan. Kejayaan dan kecemerlangan sekolah terletak pada keberkesanan seluruh
sistem, nilai, tingkahlaku, iklim, semangat dan budaya yang diamal dan dipamerkan setiap
waktu oleh setiap orang pelajar, guru, kakitangan bukan guru dan juga pentadbir dan
pengurus kurikulum sesebuah sekolah itu. Pihak yang amat besar kesan dan pengaruhnya
terhadap kemajuan dan kecemerlangan ini tidak lain tidak bukan ialah guru-guru sendiri.
Oleh itu wajar sikap dualisme ini dihakis dan dibuang daripada semua pihak yang terlibat
dengan agenda pendidikan khususnya guru Pendidikan Islam.
Para guru hendaklah menjiwai peranan sebagai murabbi yang berperanan
menyampaikan setiap ajaran agama kepada seluruh anak didik mereka. Guru mestilah
berusaha melengkapkan diri mereka dengan ciri-ciri guru yang berkesan. Menurut Stephen
Covey (1989) dalam bukunya "The Seven Habits of Highly Effective People" menyatakan ada
dua tahap proses perubahan yang perlu dilalui bagi mencapai status 'orang-orang yang paling
berkesan' iaitu tahap 'memenangi peribadi' dan 'memenangi publik'. Tiga tabiat (habit) yang
fundamental bagi seseorang memenangi diri peribadi adalah jadilah proaktif, mulai dengan
yang akhir di dalam minda, buat dahulu perkara pertama. Bagi memenangi publik (dalam
hubungan interpersoal) tabiat yang perlu diamalkan pula adalah fikirkan menang-menang
(Think Win/Win), fahami dahulu kemudian minta difahami, sinergi, tajamilah mata gergaji.
Aspek-aspek penting di atas setelah kita kuasai maka tidaklah sukar untuk menjadi seorang
yang lebih berkesan baik dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang
guru yang cemerlang mahupun sebagai seorang ahli organisasi yan boleh menjadi role model
kepada orang-orang lain khususnya para pelajar.
Pengaruh guru terhadap pelajar-pelajarnya sama juga dengan pengaruh ibu bapa
terhadap anak-anak mereka. Dengan adanya guru yang ikhlas di sekolah akan dapat
memperbaiki alam pembelajaran pelajar-pelajar. Bahkan gurulah yang mewariskan para nabi
dalam membentuk dan mengembangkan ilmu pengetahuan kepada pelajar-pelajarnya. Guru
juga diakui mempunyai pengaruh yang amat besar terutamanya ke atas murid-murid sekolah
rendah (Wan Mohd Zahid Mohd Nordin, 2003). Kajian kualitatif penulis (Zaharah Hussin,
2001) menunjukkan penampilan guru adalah penting dalam membentuk akhlak pelajar.
Berikut adalah sebahagian daripada pandangan pelajar terhadap guru-guru mereka iaitu guru
hendaklah memiliki sahsiah diri yang sempurna, guru tidak patut menampakkan walaupun
satu keaiban yang ketara, guru hendaklah menjadi contoh terbaik pelajar, dari aspek-aspek
akhlak dan sahsiah, pelajar menjadikan guru agama di sekolah sebagai contoh idola /role
model mereka. Selain itu guru adalah agen pendidikan yang berkesan (Muhammad Uthman
el-Muhammady,1991 dIm. Ahmad Mohd. Salleh, 1997). Walau sebaik mana pun sesuatu
sistem pendidikan itu, jika guru yang mengajar bukannya guru yang berkesan bermakna apa
yang disampaikan tidak akan difahami pelajar maka tidak mencapai matlamat pengajaran.
Oleh itu, guru khususnya guru-guru Pendidikan Islam, perlu mengukuhkan lagi peranan
mereka dalam merealisasikan hasrat Falsafah Pendidikan Guru.
2.3 PERSEKITARAN YANG TIDAK MEMBERANGSANGKAN
Pembelajaran Pendidikan Islam pada masa kini bukanlah sesuatu yang mudah untuk
diajar. Perkara ini berlaku disebabkan persekitaran pada masa kini tidak menjuruskan kepada
persekitaran Islam dan secara tidak langsung akan mengurangkan minat pelajar terhadap
pembelajaran Pendidikan Islam. Masalah persekitaran sememangnya memainkan peranan
penting dalam menarik minat pelajar untuk mengikuti pembelajaran pendidikan Islam.
Sekiranya pelajar tidak meminati apa yang diajar oleh guru, maka sudah semestinya pelajar
tidak akan memberi tumpuan dan tidak mungkin pelajar dapat melaksanakan dalam
kehidupan sebenar mereka.
Antara masalah utama dalam pembelajaran Pendidikan Islam ialah kurang kerjasama
antara guru dan ibu bapa dalam membentuk sahsiah pelajar. Pada masa kini yang penuh
dengan cabaran dan dugaan telah membataskan pergaulan guru dan ibu bapa atau penjaga
pelajar. Para ibu bapa atau penjaga pelajar tidak berkesempatan untuk bertanyakan hal-hal
yang berkaitan akhlak dan tingkahlaku anak-anak di bawah jagaan mereka. Mereka juga
jarang dapat bersama dengan anak-anak di bawah jagaan mereka disebabkan tugasan atau
tuntutan kerja yang membebankan. Tugasan guru yang semakin mencabar juga telah
membataskan pergaulan guru dengan pelajar dan perkara ini telah mengurangkan perhatian
guru terhadap pelajar. Secara tidak langsung guru tidak dapat memberi penerapan nilai-nilai
murni dalam pembelajaran Pendidikan Islam di luar waktu pembelajaran.
Antara masalah yang sering dihadapai oleh para pendidik khususnya para pendidik
Pendidikan Islam ialah persekitaran luar sekolah yang berbeza dengan suasana persekitaran
dalam sekolah. Masalah persekitaran luar sekolah akan mempengaruhi para pelajar dalam
pembentukan akhlak dan sahsiah pelajar kerana para pelajar hanya akan berada di alam
persekolahan hanya beberapa jam sahaja dalam sehari, selebihnya mereka akan berada di
persekitaran luar sekolah yang amat berbeza.
Persekitaran luar sekolah yang sering dihadapi para pelajar dalam kehidupan seharian
mereka ialah faktor ekonomi yang mendesak mereka melakukan kerja bagi menampung
kewangan keluarga. Suasana kehidupan para pelajar juga boleh mempengaruhi sahsiah
mereka dalam menerapkan nilai-nilai murni. Sekiranya suasana kehidupan mereka dikelilingi
oleh budaya yang sihat maka hasilnya akan melahirkan pelajar yang dapat merealisasikan
pembelajaran nilai-nilai murni Pendidikan Islam dalam kehidupan mereka dan sekiranya
suasana kehidupan mereka dikelilingi oleh budaya yang tidak sihat maka akan lahirlah pelajar
yang tidak dapat membentuk dirinya mengikut nilai-nilai murni yang dipelajari di waktu
persekolahan. Antara yang boleh mempengaruhi para pelajar dalam merealisasikan nilai-nilai
murni dalam pendidikan Islam ialah faktor keturunan, sekiranya pelajar dari keturunan yang
baik maka agak senang bagi pelajar tersebut untuk mengamalkan apa yang dipelajari dan
sekiranya pelajar itu dari keturunan yang kurang baik, maka agak mencabar baginya untuk
merealisasikan apa yang dipelajari kerana tiada sokongan dan dorongan dari keluarga.
Faktor lain yang menjejaskan nilai-nilai murni para pelajar ialah faktor kawalan di luar
sekolah. Para guru tidak akan menguasai para pelajar dalam kehidupan seharian mereka di
luar sekolah kerana para guru juga mempunyai tanggungjawab dalam kehidupan seharian
mereka dan agak mustahil para guru dapat memantau pelajarnya di luar waktu persekolahan.
Ibu bapa harus mengambil tanggungjawab sepenuhnya dalam menangani masalah isu
kawalan kepada para pelajar. Masalah yang tidak dapat dinafikan dan memberi cabaran yang
paling hebat kepada para pendidik khususnya para pendidik Pendidikan Islam ialah media
massa. Media massa pada zaman kini berlumba-lumba dalam menghasilkan produk yang
tidak mencerminkan nilai-nilai keislaman yang tinggi seperti Akademi Fantasia, Mentor,
Gang Starz, One In A Million, Malaysian Idol dan bermacam-macam lagi program
seumpamanya. Program seperti ini sememangnya telah terbukti tidak mempunyai nilai-nilai
keislaman dan telah menarik minat berjuta-juta pelajar untuk menonton dan secara tidak
langsung akan menghakiskan nilai-nilai murni Pendidikan Islam yang telah dipelajari.
Program tersebut juga telah menghancurkan minat pelajar terhadap pembelajaran
Pendidikan Islam kerana program tersebut memaparkan sesuatu yang menyeronokkan akan
tetapi bertentangan dengan nilai keislaman serta menawarkan hadiah yang lumayan kepada
pemenang. Pada masa yang sama program yang berkonsepkan nilai-nilai murni mengikut
ajaran Islam tidak begitu menarik minat sebahagian besar pelajar mungkin disebabkan hadiah
yang ditawarkan tidak begitu lumayan serta tidak banyak pilihan. Perkara ini sudah
semestinya memberi tamparan hebat kepada para pendidik khususnya para pendidik
Pendidikan Islam dalam menerapkan nilai-nilai murni kepada para pelajar. Para pelajar telah
dipengaruhi oleh media massa yang begitu hampir dengan pelajar dan secara tidak langsung
menghilangkan nilai-nilai murni Pendidikan Islam yang telah diajar oleh para pendidik
Pendidikan Islam.
CADANGAN PENYELESAIAN
Langkah penyelesaian isu-isu ini ialah semua pihak haruslah memberi kerjasama yang
hebat untuk merealisasikan nilai-nilai murni pendidikan Islam dalam kehidupan seharian
pelajar. Para pendidik dan ibu bapa perlu lebih banyak berbincang dalam mengawal tingkah
laku para pelajar. Manakala masyarakat perlu mengambil sikap jaga tepi kain orang dan
pihak kerajaan perlu menghadkan program berbentuk hiburan yang merosakkan minat para
pelajar terhadap nilai-nilai keislaman. Selain itu amat wajar diperhebatkan lagi program yang
mampu menarik minat pelajar dalam mengamalkan nilai-nilai murni dalam Pendidikan Islam.
2.4 PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN AL-QURAN KURANG BERKESAN
Dalam konteks pendidikan di sekolah Al-Quran menjadi satu komponen daripada
mata pelajaran Pendidikan Islam. Mata pelajaran Pendidikan Islam merupakan mata pelajaran
teras dan wajib dipelajari oleh setiap pelajar Islam di semua peringkat sama ada rendah atau
menengah. Konsep pengajaran dan pembelajaran Al-Quran seharusnya diketahui dengan
lebih jelas supaya semasa berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan
dengan berkesan serta sesuai dengan kehendak agama Islam. Antaranya merangkumi
perkara-perkara di bawah ini:
1. Mengenal huruf Al-Quran.
2. Boleh menyebut huruf Al-Quran dengan betul mengikut makhraj dan sifat-sifatnya.
3. Boleh membaca ayat Al-Quran dengan betul dan fasih mengikut hukum Tajwid.
4. Boleh membaca Al-Quran dengan suara dan lagu yang baik.
5. Mengetahui maknanya dan memahami maksudnya.
6. Mengambil pengajaran dan iktibar daripada peristiwa dalam kisah-kisah Al-Quran.
7. Mengamalkan suruhan dan menjauhi larangan Al-Quran.
8. Menghayati ajaran dan akhlak Al-Quran dalam setiap tindakan.
9. Menghafaz ayat-ayat Al-Quran. Jika tidak mampu hafaz keseluruhan Al-Quran,
mestilah ada usaha untuk menghafaz sebahagiannya atau sekadar perlu untuk dibaca
dalam solat dan wirid-wirid tertentu.
10. Mengajar Al-Quran kepada orang lain.
Semasa proses pengajaran dan pembelajaran terdapat segelintir pelajar peringkat
menengah tidak dapat membaca Al-Quran langsung (buta Al-Quran) dan permasalahan ini
perlu dielakkan dalam kalangan pelajar Islam. Fenomena ini telah memberi kesan yang tidak
sihat dalam kalangan pelajar di peringkat sekolah menengah dan menyebabkan mereka tidak
berminat dan kurang memberi perhatian untuk mempelajari Al-Quran dalam mata pelajaran
Pendidikan Islam di sekolah serta dalam aktiviti membaca Al-Quran sama ada secara
individu atau berkumpulan. Terdapat di kalangan pelajar juga yang tidak mengenal huruf
hiyaiyyah Al-Quran serta tidak dapat membacanya dengan lancar ketika pelaksanaan
pengajaran dan pembelajaran Al-Quran. Hal ini telah menyulitkan pendidik bagi
pelaksanaannya di dalam bilik darjah. Sehubungan dengan masalah pembelajaran Al-Quran
antara punca utamanya ialah sesi pengajaran lebih berpusat kepada guru bukan murid.
Semasa pengajaran guru lebih banyak menggunakan pendekatan syarahan dan kurang
menggunakan alat bantu mengajar ( ABM ) dalam bilik darjah. Punca kedua pula ialah guru
kurang mengambil kira potensi pelajar seperti yang dihasratkan dalam KBSM. Pelajar kurang
diberi peluang mengeluarkan pendapat dan bersoal jawab. Selain itu, aktiviti P&P lebih
berfokus kepada mengingat pengetahuan sahaja. Para pelajar kurang diberi peluang untuk
belajar berfikir. Secara tidak langsung hal ini menjadi punca pelajar tidak sedar apa yang
dipelajari dan tidak mengetahui tujuan pembelajaran tersebut.
CADANGAN PENYELESAIAN
Sepatutnya guru perlu menggunakan ABM sekurang-kurangnya menggunakan papan
tulis. Sebagai contoh guru perlu membimbing pelajar melalui ayat-ayat dalam sukatan dengan
cara menulis huruf-huruf pada papan tulis dan membunyikan atau membacakan huruf-huruf
daripada ayat-ayat yang diajarkan. Seterusnya pelajar diminta supaya menyebut huruf-huruf
dengan tepat sambil menunjukkan ayat yang dibaca dengan kayu penunjuk. Proses ini
mestilah dilakukan berulang-ulang sehingga pelajar telah benar-benar faham dan mengetahui
fungsi baris dan sebutan setiap huruf tersebut. Kini negara kita telah mencapai arus
kemodenan yang lebih baik. Maka para guru wajar berusaha untuk menambahbaikkan kaedah
pengajaran mereka. Selain menggunakan papan putih seperti contoh di atas, wajar
mengintegrasikan teknologi maklumat supaya pengajaran lebih menarik.
Faktor bilangan pelajar yang ramai dalam kelas merupakan punca guru kurang
mengambil kira potensi pelajar seperti yang dihasratkan dalam KBSM. Situasi ini jelasnya
mengakibatkan pelajar menjadi pasif di dalam kelas. Hal ini turut dipersetujui oleh Jemaah
Nazir Persekutuan 1994, yang menyatakan bahawa bilangan pelajar dalam kelas yang ramai
mengurangkan peluang guru mendengar dan memperbetulkan bacaan murid secara talaqqi
dan musyafahah serta membuat aktiviti pengukuhan. Oleh itu sanagt wajar bilangan pelajar di
dalam kelas hanya dihadkan seramai 25 orang pelajar sahaja. Suasana pembelajaran yang
lebih kondusif akan dapat dirasai oleh pelajar dan mudah melahirkan pelajar aktif belajar
sendiri dalam sesebuah kelas. Walau pun masalah ini dilihat sudah lama dan masih berlaku
sehingga kini, besarlah harapan para pendidik agar isu ini dipandang serius dan diatasi
dengan seberapa segera dengan kemampuan kewangan negara yang agak stabil.
Aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang hanya tertumpu kepada ingatan pula
mestilah diatasi bersama. Hal ini mungkin disebabkan oleh peruntukan masa yang singkat
bagi pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Justeru sukar bagi guru mencapai objektif
pengajaran yang telah ditentukan dalam rancangan pengajaran harian mereka.. Masa yang
singkat akan menyebabkan guru perlu menghambat masa untuk memastikan para pelajar
menghafal Al-Quran tanpa mengenal huruf dengan baik. Ini akan menjadikan para pelajar
tidak memahami bagaimana Al-Quran mesti dibaca. Pihak sekolah sepatutnya lebih prihatin
dengan memberikan lebih masa terhadap subjek ini yang menjadi teras kepada Pendidikan
Islam. Malah ia juga perlu melibatkan kesungguhan para ibu bapa di rumah kerana terdapat
kajian yang menyebut para pelajar memperolehi kemahiran membaca Al-Quran daripada ibu
bapa mereka di rumah dan bukan daripada guru di sekolah sahaja.
2.5 KURANG MEMANFAATKAN ALAT BANTU MENGAJAR UNTUK
PENGUKUHAN PELAJAR
Apabila masalah ini tidak segera diubah bentuk pelaksanaannya, maka pelajar akan terus
ketinggalan dalam bidang pendidikan mereka tanpa mengikut arus perubahan semasa.
Menurut Mohd Sobri (2000), proses pengajaran tidak hanya tertumpu kepada penggunaan
buku teks, kapur tulis dan papan hitam sahaja, malah lebih dari itu termasuklah penggunaan
komputer yang menyediakan pembelajaran secara interaktif bagi menarik minat pelajar.
Kaedah ini akan membantu guru dalam melaksanakan pengukuhan kepada pelajar. Perlu
diingat bahawa pengajaran yang memanfaatkan alat bantu mengajar semestinya memberi
kelainan kepada pelajar dan tidak hanya menghasilkan pengajaran yang mendatar. Ini akan
menjadikan pembelajaran pelajar lebih menarik.
Menurut Mohd Fazreen (2003) ada dinyatakan bahawa pembelajaran tanpa alat bantu
mengajar akan lebih berpusatkan guru sahaja (dalam bentuk satu hala) di mana guru
menyampaikan isi pelajaran dan pelajar hanya mendengar telah menjadikan pelajar peserta
pasif atau ‘passive learner’. Ini akan menyebabkan pelajar akan merasa mudah bosan dan
sedikit sebanyak akan melunturkan minat pelajar untuk belajar. Strategi yang digunakan ini
bolehlah dikatakan sebagai kaedah tradisional dan haruslah di perbaiki agar dapat
mewujudkan pengajaran dan pembelajaran yang aktif di mana pelajar turut berfikir untuk
menyelesaikan sesuatu masalah. Perubahan arus semasa jelas menekankan pengajaran dan
pembelajaran yang aktif kerana pelajar perlu belajar sendiri. Apabila berhadapan dengan
masalah pembelajaran kerana dibelenggu oleh kekurangan alat bantu mengajar, pelajar gagal
menyelesaikan masalah sendiri. Aktiviti pengukuhan pula mungkin sudah berubah kepada
aktiviti yang membosankan. Pelajar yang lemah akan terus menjadi lemah disebabkan isu ini.
CADANGAN PENYELESAIAN
Oleh itu, ditekankan di sini bahawa penggunaan alat bantu mengajar amatlah
digalakkan kerana ia merupakan salah satu kaedah bagi melahirkan suasana pembelajaran
yang aktif antara pelajar dan guru. Menurut Asri (2000), dinyatakan alat bantu mengajar
dapat menarik minat dan perhatian pelajar memahami sesuatu konsep dan isi pelajaran yang
mudah, mewujudkan suasana pengajaran yang aktif dan menarik. Pelajar juga dikatakan akan
terus tertarik untuk belajar dan berinteraksi dengan aktif. Proses ini dikatakan dapat
mendorong ke arah peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran. Pengajaran yang hanya
menggunakan sumber yang ada semata-mata seperti buku teks, kapur tulis, papan hitam dan
buku latihan bolehlah dianggap sebagai satu pengajaran yang mengenepikan teknologi
pengajaran terkini yang banyak menggunakan komputer sebagai kaedah terbaru di dalam
pembelajaran.
Jesteru, pengajaran menggunakan alat bantu mengajar haruslah dilaksanakan oleh
guru agar ianya dapat menggalakkan pelajar berfikir tentang benda-benda yang abstrak
terutamanya guru-guru Pendidikan Islam kerana kebanyakan subjek-subjek di dalamnya
memerlukan pelajar berfikir tentang benda-benda yang abstrak. Oleh itu, penggunaan alat
bantu mengajar ini amatlah penting dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam bidang
pendidikan membincangkan konsep dan menetapkan hukum. Walau pun memerlukan kos
yang tidak sedikit tetapi sangat baik untuk kepentingan melahirkan anak bangsa yang berilmu
pengetahuan tinggi. Tiadalah yang diharapkan oleh para guru melainkan kejayaan melahirkan
para sarjana dan ilmuan yang akan meneruskan kepemimpinan negara yang adil dan saksama
pada suatu masa akan datang.
7.0 PENUTUP
Negara bahawa pendidikan di sekolah adalah satu usaha yang berterusan ke arah melahirkan
individu yang berpotensi dan bersepadu bagi mewujudkan insan yang harmonis dan
seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek berdasarkan kepercayaan dan
kepatuhan kepada Tuhan. Ini dapat dijadikan garis panduan bagi setiap pendidik di dalam
mendidik setiap pelajar mereka. Menurut Robiah (1993), sesuatu sistem pendidikan itu
ditetapkan oleh perkembangan yang terdapat hari ini dan juga perkembangan yang berlaku
pada masa lalu. Ini menunjukkan pendidikan hari ini akan menjadi asas kepada generasi akan
datang dan sedikit sebanyak harus diterapkan pada masa sekarang. Oleh itu pengajaran yang
berkesan perlu dilaksanakan supaya pembelajaran akan menjadi lebih sistematik dan dapat
menarik minat pelajar untuk belajar. Pelbagai isu yang terus timbul memerlukan
kebijaksanaan kita untuk menyelesaikannya. Semua pihak perlu berganding bahu memikul
tanggungjawab mengurus dan mentadbir suasana yang akan berlaku pada masa akan datang
yang jauh lebih kompleks. Diharapkan semoga kecemerlangan akhlak dan akademik akan
berjalan seiring sesuai dengan perintah agama yang tercinta iaitu Islam.
8.0 RUJUKAN
1. Kamarul Azmi Jasmi, Ab. Halim Tamuri ( 2007 ) Pendidikan Islam : Kaedah
Pengajaran & Pembelajaran, Bidang Pengajian Islam.
2. Mohd Yusuf Ahmad ( 2004 ) Sejarah dan Kaedah Pendidikan Al-Quran, Penerbit
Universiti Malaya
3. Zaharah Hussin ( 2005 ) Mendidik Generasi Berakhlak Mulia : Fokus Peranan Guru
Pendidikan Islam, Masalah Pendidikan 2005, Universiti Malaya
4. Covey, Stephen R. (1989) The Seven Habits of Highly Effective People. Simon and
Schuster, New York
5. Abd. Rahman Mat Hassan ( 1999 ) Satu Kajian Penguasaan Al-Quran di Kalangan
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama. Kuala Lumpur, Universiti Malaya
6. Kementerian Pelajaran Malaysia ( 2002 ) Sukatan Pelajaran Pendidikan Islam. Kuala
Lumpur, Bahagian Kurikulum Pendidikan Islam dan Moral.
7. Nur Baizura Mahyidin ( 2006 ) Faktor-faktor Yang Menggalakkan Penggunaan ABM
di Kalangan Guru-guru Teknikal Dalam Pengajaran Seharian. Fakulti Pendidikan,
Universiti Teknologi Malaysia
8. http://www.angelfire.com/journal2.htm